sydeen's photography
banner-fp2
By: sydeen Personel photoblog

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Wednesday, 6-Nov-2013 23:33 Email | Share | Bookmark
Medan, Indonesia: Sebuah Catatan 72 jam


Dari kiri: Bapak Shahrin, bapak Azli, bapak Noraisman, bapak Khazari, bapak Nano dan bapak Saidin. Semua dah jadi bapak daaaa

Trend rakyat Malaysia melancong ke Indonesia dah agak lama dan ia semakin menjadi-jadi sejak syarikat penerbangan Air Asia membuat pekej tambang murah ke sana. Ada beberapa faktor yang membuatkan ramai rakyat Malaysia suka melawat Indonesia dan antaranya ialah dengan kos yang rendah, bahasa yang sama dan dekat.

Kami pun ada ada beberapa sebab untuk ke sana iaitu untuk merakam keindahan lanskap, bersua muka dengan ahli kelab radio amatur dan membeli belah. Jadi tujuan kami berlima tentunya tidak sama dan ini memberi pengalaman yang lebih berbanding mereka yang pergi dengan satu tujuan.


Pertama kali dalam hidup jadi jutawan.


Kita biasa membaca catatan mereka yang berkunjung ke sana melalui blog-blog atau melalui cerita pengalaman rakan-rakan yang pernah ke sana termasuklah saya sendiri. Jadi jalan cerita dan pengalaman mereka hampir sama iaitu dengan harga barangan yang murah, banyak pilihan, keindahan gunung-ganangnya dan budaya mereka hampir sama dengan kita.

Oleh kerana pengalaman pertama menempah tiket secara online, semestinya kami melakukan beberapa kesilapan dan ini kami anggap sebagai pengalaman untuk menjadi panduan kepada mereka yang akan ke sana nanti. Jadi perancangan yang teliti perlu dibuat supaya segala perbelanjaan dan masa digunakan secara maksimun disepanjang percutian kita nanti.


Bapak-bapak sedang menunggu flight ke Kota Medan. Muka ngantuk.

Hari Pertama
Setelah beberapa kali berbincang kami berlima membuat keputusan untuk bergerak dengan kereta Shaharin ke LCCT. Kawannya dari KL akan menghantar dan menjemput kami nanti. Jadi kami tidak perlu lagi memikirkan tentang kos parking kereta di LCCT yang mencapai ratusan ringgit sehari. Memang dasar kapitalis sungguh.

Penerbangan kami pukul 7.40 pagi, bermakna kami kena check in sekurang-kurangnya 45 minit lebih awal. Jadi terpaksalah kami bergerak awal iaitu pada 12.00 tengah malam dari Melaka. Sementara menunggu pagi tu pandai-pandailah habiskan masa.

Penerbangan 7.40 pagi dari LCCT dan sampai di sana pada 7.20 pagi. Ya betul, sampai pukul 7.20 pagi. Bermakna awal 20 minit kerana mengikut waktu di sana yang lewat 45 minit. Cabaran perjalanan kami bermula apabila menjejakkan kaki di lapangan terbang Kuala Namu dengan perjalanan dengan kereta mengambil masa lebih sejam. Lapangan terbang baru 4 bulan dipindahkan dari lapangan terbang lama di Polonia, agak berdekatan pekan Medan.


AAsia yang menjadi kuda tunggangan kami

Oleh kerana pemandu pelancong kami juga ditempah secara ‘online’ dan melalui orang tengah maka timbul kesulitan untuk kami mencarinya. Nasib baik kami ada menyimpan nombor telefonnya tapi lapangan terbang baru ini masih belum disediakan telefon awam. Telefon bimbit kami semua tidak boleh digunakan kerana ia dari Malaysia.
Sementara kami mundar mandir mencari idea ada seorang lelaki menyapa dan bertanya samada kami perlukan pengangkutan. Bila diberitahu masalah kami, lelaki berkenaan menawarkan untuk menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi pemandu pelancong yang kami tempah sejak awal lagi iaitu Pak Nano. Rupanya pak Nano memang sedang menunggu kedatangan kami di sekitar lobi tapi oleh kerana orang ramai dan kami belum pernah bersua muka, ia agak sukar.

Perbualan dengan pak Nano tidak sampai 1 minit, kami dikenakan bayaran menggunakan telefon berkenaan sebanyak Rp5000 oleh lelaki tersebut. Boleh tahan. Nasib Shahrin ada sediakan duit kecil. Kalau nak harapkan yang lain, rata-rata mempunyai duit besar Rp100,000 sebanyak 3 keping yang ditukar dua tiga hari sebelum berangkat. Bila tiada duit pecah maka lebur lah Rp100,000 dari hadapai masalah yang seterusnya.

Pak Nano kelihatan agak mudah mesra dan kami cepat menyesuaikan diri dengannya. Kenderaan rasmi kami selama 3 hari ini ialah sebuah kereta Toyota Avanza [dikenali sebagai Daihatsu Xenia di Indonesia] yang masih kelihatan baru kerana ada plastik yang belum ditanggalkan. Rancangan hari ini ialah selepas menukar duit dari money changer, sarapan, kami terus dibawa ke pekan Parapat di tepi tasik Danau Toba. Bunyi macam dekat tapi perjalanan kami mengambil masa selama lebih 4 jam dengan keadaan jalan yang agak teruk dan sesak dengan kenderaan.

Dalam perjalanan kami singgah di Tebing Tinggi untuk solat di masjid antara tertua di daerah berkenaan sambil pekena pisang goreng di gerai tepi jalan. Sebelum sampai di pekan Kota Simalungun, kami singgah minum air kelapa diperah limau nipis. Shaharin kata sedap tapi aku rasa macam pelik jer. Noraisman yang bayarkan, kena Rp85,000 katanya untuk 6 biji kelapa. Kalau ditukarkan kepada duit kita dalam RM4 jugak sebijik. Satu kali ganda dari harga di Malaysia. Cekik darah betul tapi kami redha je la.

Perjalanan diteruskan dengan jalan agak cantik kalau nak dibandingkan dengan lain-lain jalan di sekitar Medan. Kenderaan agak banyak dari kedua-kedua arah dan mujurlah pak Nano seorang pemandu yang tangkas. Melihat cara pemanduannya, kalau berada di Malaysia memang berguni la surat saman akan sampai setiap bulan. Macam rally beb. Banyak pekan menarik disepanjang perjalanan kami seperti pekan Deli Serdang, Tebing Tinggi dan Kota Simalungun tapi kami teruskan perjalanan kerana hari sudah lewat.

Setelah melepasi pekan Tebing Tinggi kebanyakkan penduduk tempatan didominasi oleh kaum batak yang beragama kristian. Walaupun wajah mereka hampir sama dengan penduduk Medan lain, mereka boleh dibezakan dengan budaya dan gaya hidup mereka. Antaranya ialah terdapat banyaknya bangunan gereja akan kelihatan disetiap kilometer di tepi jalan dan mereka juga adalah pemakan babi tegar. Papan tanda restoran ‘Babi Panggang’ kelihatan biasa di sini.

Setelah lebih 4 jam perjalanan dengan kepala yang mamai kami tiba di pekan Parapat menjelang senja. Kami belum membuat keputusan muktamad mengenai tempat bermalam. Jadi kami terpaksa mundar mandir mencari bilik yang sesuai dengan bajet di sekitar pekan berkenaan. Kebanyakkannya mahal dan ada bilik yang mencapai Rp800,000(RM228) untuk satu malam. Bilik saja pun, kalau taraf hotel munasabah la. Kebetulan pula Shaharil ada seorang kenalan kelab radio amatur iaitu pak Daney yang juga menyediakan bilik penginapan di pekan berkenaan. Jadi kami pun bermalam di situ. Baru Rp100,000(RM28.50) untuk satu malam. Ini lah untungnya bila ada kenalan terutama di luar kawasan kebiasaan kita.


Kami dijamu oleh Pak Deney di Parapat. Walaupun dia bukan Islam, kami belasah je la.

Suhu di sini agak dingin iaitu 23 darjah celcius waktu siang manakala 21 darjah di waktu malam dan bilik kami tiada kipas mahu pun aircond. Cuaca selalu mendung dan berawan kerana tempat ni tinggi dari aras laut dan tempat pertemuan antara cuaca sejuk dan panas. Hanya kadangkala sahaja langit kelihatan membiru kerana tiupan angin agak kencang di puncak gunung. Setakat ini tidak ada lagi gambar-gambar menarik untuk dirakam dan kami antara jurugambar agak kecewa takut-takut ia akan berterusan hingga hari ketiga. Sebelum tidur kami merancang pergerakkan untuk esoknya bersama pak Nano supaya kami boleh merakam gambar-gambar seperti rancangan awal kami. Jadi kami mengambil keputusan untuk bergerak melalui jalan lain untuk kembali ke Medan. Jadi kami akan menyusuri tepi tasik Danau Toba dengan permandangan yang mengujakan hingga ke pekan Berastangi. Itu cerita dan janji pak Nano pada kami berlima.


Pekena kopi O sambil sembang. Nampaknya kami terpaksa dengar baik-baik apa yang dicakapkan. Kalau tak angguk je la.

Hari Kedua
Kami bangun awal iaitu serentak dengan azan subuh dari sebuah masjid berdekatan. Air untuk kami mandi agak sejuk, pemanas air tidak disediakan dan ada antara kami yang tangguh untuk mandi sehingga sampai ke pekan Medan nanti. Sebelum bergerak, kami bersarapan di gerai berdekatan dengan nasi lemak telur goreng. Ringkas tapi berbaloi, janji halal dan murah. Rp70,000 untuk 6 orang termasuk pak supir kami. Lagi pun itulah menu yang ada dan menjadi sajian penduduk tempatan setiap hari.


Tempat penginapan kami di Hotel Singgalan, Parapat. Siap kodinat gps tuuu


Bapak Shaharil sedang 'mengeram telur' kesejukan di lobi penginapan kami di Parapat.

Cuaca agak baik dan kami memulakan perjalanan menyusuri tasik. Memang benar apa yang dijanjika pak Nano iaitu permandangannya amat mengujakan. Memang indah dengan tasik yang luas berlatar belakang gunung ganang semula jadi dengan suhu yang kedinginan. Tapi kami hanya singgah di satu-satu tempat hanya beberapa minit sahaja sebab mengejar masa. Memang kami dah agak sebab rombongan kami ini hanya tiga orang sahaja yang mengambil gambar. Lagi pun kami kena sampai di pekan Medan sebelum magrib untuk acara seterusnya dengan Shahrin bersama kelab radio amatur Orari. Biasanya untuk peluang kami mengambil gambar yang menarik dan tenang, sekurang-kurangnya lima hari diperlukan.


Sarapan pagi. Janji negara amannn

Hari Ketiga
Suasana pagi hampir sama dengan Cameron Highland iaitu dengan suhu agak dingin dan tenang. Semasa meninjau sekitar untuk mencari kedai bersarapan kami terserempak dengan 2-3 orang yang kami agak orang tempatan sedang berjogging. Kami bersarapan nasi putih di gerai berdekatan kerana tidak mahu membazir masa mencari kedai lain. Kedai makan di sekitar pekan Parapat ini kebanyakkannya kepunyaan kaum Batak. Kami fobia bila melihat papan tanda ‘Babi Panggang’ dan sedaya upaya menjauhinya.


Bapak Khazari sedang khusyuk berkarya


Air terjun Sipiso piso yang keluar dari kebun jagung dan terjun untuk ke Tasik Toba


Salah satu permandangan disepanjang laluan kami menuju Berastagi melalui tepian Tasik Toba

Nasi putih hanya berlaukkan sambal dan telur goreng serta teo O panas. Cukup ringkas tapi memgenyangkan. Kami faham bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk merunggut itu ini bila berada di tempat orang. Jika dah ada makanan halal tu kira amat memadai dan bersyukur dari kami berpuasa hingga jumpa makanan lain.

Selesai sahaja bersarapan kami terus bergerak menyusuri tasik Danau Toba dengan permandangan amat luarbiasa. Ya, permandangan sebegini tiada di Malaysia. Kami menyusuri hampir separuh bahagian tepi tasik berkenaan. Permandangan yang luarbiasa. Memang ini lah tujuan utama kami untuk ke sini iaitu merakam keindahan alam ciptaan dan mengagumi kekuasaanNya. Kami tau bahawa banyak lagi kawasan pergunungan yang lebih cantik dari ini di Indonesia berdasarkan gambar-gambar yang kami lihat di internet.

Untuk mengejar masa kami mengambil gambar dengan cara agak tergesa-gesa dan ini bukannya cara yang bagus untuk mengambil gambar lanskap. Tapi kami akur kerana dalam masa yang sama masa juga mengejar kami. Kami juga kena faham bahawa ini bukanlah trip bagi jurugambar sepenuhnya. Kebanyakkannya tempat yang kami berhenti hanya lah sekitar 5-10 minit sahaja. Paling lama ialah dipuncak tertinggi berhampiran Berastagi iaitu dalam 30 minit. Rasanya permandangan dari sini amat cantik, amat berbaloi walaupun dikenakan bayaran Rp100,000 untuk sekali masuk. Tidak lupa juga kami sempat singgah di air terjun Sipiso-piso yang berada 800meter dari aras laut dengan dikelilingi gunung ganang menjadi landmark Berastagi.

Dalam perjalanan balik ke Medan, kami sempat singgah di dataran tinggi Gundaling untuk merakam gunung berapi Sinabung dan Sibayak yang sedang aktif. Kami juga dimaklumkan bahawa sebaik saja kami sampai di pekan Medan petang berkenaan, gunung Sinabung telah meletus. Kami bernasib baik kerana tidak terperangkap dalam kesesakan dikala penduduk tempatan sibuk menyelamatkan diri. Gunung ini tidak pernah meletus sejak tahun 1600 tetapi aktif pada tahun 2010. Sementara kenkawan lain mengambil gambar, kami berlima sempat juga merasa hidangan indo mee. Kalau kat Malaysia kita panggil Meggi la. Rp15,000 semangkuk dengan the O. Mahal siot.


Gunung Sinabung yang meletus sebaik saja kami meninggalkan Gundaling


Gunung Sibayak yang sedang diliputi asap kerana ia sedang aktif. Jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja dari Gunung Sinabung

Walaupun jarak antara pekan Berastagi dan Kota Medan hanya 66km, perjalanan kami mengambil masa hampir 3 jam. Itu pun pak supir kami adalah yang terbaik di Kota Medan iaitu Pak Nano. Kami ada melalui satu kampung di daerah Kota Binjai dimana jalanrayanya amat terdesak dan teruk. Sejam kami dilambung dengan jalan berlubang dan becak.


Perjalanan balik ke Medan.Bapak Shaharil kepancitan

Kami sampai di Kota Medan setelah azan magrib dan check in di hotel Madani untuk berehat seketika. Malam ni giliran bapak Shahrin punya acara iaitu menghadiri perjumpaan kelab radio amatur Indonesia (Organisasi Amatir Radio Indonesia – ORARI) dengan program makan-makan sampai letih. Kami disambut umpama menteri dari Malaysia. Menjelang 12.30 malam baru kami balik ke hotel. Semuanya keletihan dan acara membeli belah pula menanti keesokan harinya.

Hari Keempat
Seperti biasa kami bangun awal pagi untuk meneruskan marathon ini. Pada sebelah pagi selepas bersarapan pak Nano akan membawa kami ke istana Maimun yang terkenal dalam era kesultanan Deli dari tahun 1873-1924. Biasanya untuk masuk adalah percuma tapi pada hari berkenaan ia dikenakan bayaran Rp10,000. Kami batalkan niat dan terus ke Pajak Ikan iaitu syurga membeli belah bagi kaum hawa. Nasib jugak kami terdiri dari kaum adam yang kurang teruja dengan barangan yang dijual terutama pakaian.

Bapak Shaharin borong sakan dan khabarnya hampir Rp3,000,000.00 lebur di Pajak Ikan. Destinasi terakhir kami ialah kuih tradisi Kota Medan iaitu Bika Ambon. Katanya sapa yang ke Medan tidak membeli Bika Ambon akan menyesal bila balik nanti. Maka beratus ribu pulak la duit kami lebur kat sini. Terdapat kedai-kedai besar di jalan Mojopahit yang menjual kuih ini dalam 3 perasa utama iaitu pandan, asli dan keju. Harganya boleh tahan iaitu Rp30,000 untuk satu biji.


Bapak Shaharil sedang memilih pakaian. Buat-buat tak nampak jer l'auk' kat depan...


Antara gadis Medan yang jadi mangsa

Flight kami dari Kuala Namu Medan pukul 6.30 petang bermakna kami mula bergerak ke sana sekitar 4.00 petang untuk mengelakkan kesesakan walaupun jaraknya hanya 23km sahaja. Lapangan terbang baru ini menggantikan tempat lama iaitu Polonia yang lebih jauh dengan Kota Medan.


Muka semua ceria sebab dah nak balik. Rindu anak katanya

Kami ucapkan ribuan terimakasih kepada pak Nano yang sabar melayan karenah kami. Dia banyak membantu dengan memberi banyak panduan perjalanan dan membawa kami ke tempat-tempat menarik sekitar Medan dan danau Toba. Sepanjang 4 hari ini kami dihidangkan dengan lagu-lagu best dari Anggun Csasmi walaupun sebelum ni kami tak pernah dengar pun namanya.





View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net