sydeen's photography
banner-fp2
By: sydeen Personel photoblog

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Saturday, 9-Feb-2013 08:32 Email | Share | Bookmark
STOCK FOTOGRAFI [BAHAGIAN-3]

KATEGORI GAMBAR.
Boleh dikatakan hampir semua subjek mempunyai nilai komersilnya tersendiri tetapi ia memerlukan tahap kretiviti dan kemahiran yang baik untuk diterjemahkan menjadi sekeping gambar supaya ia lebih bernilai. Tugas inilah yang dihajati oleh kesemua orang yang memiliki kamera atau jurugambar.

Gambar merupakan satu medium komunikasi yang amat mudah difahami untuk menyampaikan sesuatu maksud dengan tepat dan ringkas kepada orang ramai. Manusia yang normal tidak perlu membaca atau memerah otak malah belajar sampai ke universiti untuk memahami maksud yang hendak disampaikan oleh sesuatu gambar yang berkualiti.


Tugas jurugambar ialah mempastikan gambar yang dihasilkan boleh difahami oleh semua orang melainkan jika beliau mahukan sebaliknya atau berupa abstrak yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Komposisi merupakan bahagian yang paling subjektif kerana penilaian mata seseorang tidak sama dengan individu yang lain. Ia tidak boleh dibaca dalam nota tapi ia perlu dipraktik dan banyak melihat gambar-gambar lain di internet serta berimaginasi setiap kali mengambil gambar.

Menghasilkan gambar untuk stockphoto mempunyai sedikit kelainan kerana sesorang jurugambar itu memerlukan kemahiran berfikir sebagai seorang jurugrafik. Ini penting kerana gambar yang dijual nanti akan disunting atau digabungkan semula dengan lain-lain gambar yang difikirkan sesuai oleh jurugrafik untuk kelihatan lebih menarik dan berkesan. Kebanyakan gambar yang dibeli juga digunakan untuk menyokong sesuatu artikel di website atau blog berkaitan terutamanya bidang pengiklanan. Jadi pasaran bagi gambar stock ini adalah sangat luas hingga ke serata dunia dan sedang berkembang pesat.


Nature (semulajadi)
Sebuah tajuk yang mudah tapi banyak perkara boleh disenaraikan di bawahnya sebagai contoh buah-buahan yang sedang masak, ranum dan menyelerakan. Jurugambar hendaklah mempunyai daya usaha dan imaginasi untuk menghasilkan gambar yang menarik serta boleh membangkitkan selera sesiapa sahaja yang melihatnya.

Jika mesej yang hendak disampaikan itu adalah buah yang sedang membusuk atau berulat, jurugambar juga mesti boleh menunjukkannya dengan baik dan difahami oleh semua orang. Jadi tidak semestinya hanya gambar yang mempunyai subjek menarik sahaja yang mempunyai permintaan, gambar yang menunjukkan sebaliknya juga berguna terutama dalam menyampaikan sesuatu mesej penting. Lain-lain gambar yang boleh dikategorikan dalam nature ialah serangga, haiwan, landscape, sunset dan banyak lagi. Kebanyakan jurugambar juga ramai yang bermula dengan nature kerana kosnya agak murah dan santai namun permintaan untuk stockphoto agak berkurangan berbanding still life dan konsep.


Konsep (Concept)
Antara gambar yang mempunyai permintaan yang tinggi ialah berbentuk konsep (concept). Gambar yang dihasilkan mempunyai mesej yang jelas berkenaan apa yang hendak disampaikan dan mudah difahami. Sebagai contoh gambar yang menggalakkan aktiviti sihat, jurugambar mesti memaparkan gambar model sedang beriadah, bersenam atau bermain.

Dalam sekeping gambar ini pelbagai tafsiran dapat dibayangkan seperti menggalakkan aktiviti sihat di waktu lapang sambil menikmati keindahan matahari terbenam. Wajah model pula boleh dipaparkan dalam pelbagai bentuk, kedudukan atau menunjukkan bahagian tertentu sahaja(cropping). Oleh kerana kebanyakkan gambar adalah untuk tujuan pengiklanan dan pameran kepada umum, penampilan model berkenaan mestilah menarik dan tidak membosankan dan sesuai dengan tema yang hendak disampaikan.


Still Life
Mengambil gambar still life adalah paling senang kerana ia boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa had masa dan subjek. Biasanya subjek berbentuk konsep dan memberi maksud tertentu seperti cawan, pasu bunga dan susunan buah-buahan. Gambar still life untuk stock photo agak berbeza dengan art photography kerana dari segi pencahayaannya tidak kesan khas (lighting effect). Kecerahannya perlu sekata dan jelas. Hanya komposisi dan kualiti yang membezakan antara gambar yang dihasilkan oleh jurugambar atau sebaliknya.

Selain di studio dengan kos yang agak tinggi, gambar ini boleh dihasilkan dengan menggunakan cahaya semulajadi (available light) sahaja tetapi dengan bantuan pantulan (reflector) supaya sebaran cahayanya lebih sekata. Keadaan cuaca yang mendung adalah masa yang paling sesuai kerana hampir tiada bayang kelihatan di sekitar subjek.


Macro
Biasanya bila sebut sahaja macro photography kita akan terbayangkan hanya serangga seperti labah-labah (jumping spider), semut, ulat bulu yang dijadikan subjek. Gambar-gambar berkenaan hanya untuk memenuhi kepuasan sendiri sahaja bila dapat melihat secara terperinci keadaan serangga berkenaan. Tapi untuk stock photography, kita hendaklah menghasilkan gambar yang boleh digunakan untuk tujuan lain seperti perubatan, kajian dan sebagai iklan.

Sebagai contoh gambar macro nyamok samada semasa menghisap darah atau yang sudah mati adalah untuk tujuan pendidikan oleh jabatan kesihatan. Selain itu ia boleh digunakan oleh syarikat pengeluar ubat nyamok untuk menyatakan keberkesanannya.


Jadi sebelum mengambil gambar, fikirkan sejenak, di manakah gambar kita ini akan digunakan nanti oleh pembeli. Sekurang-kurangnya kita mempunyai banyak idea untuk terus menghasilkan gambar yang bermutu dan boleh dijual.

Selamat berkarya









View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net