sydeen's photography
banner-fp2
By: sydeen Personel photoblog

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 20-May-2014 05:17 Email | Share | Bookmark
Surabaya - Ijen - Bromo 2014

November tahun lepas kami pergi ke Medan dan Danau Toba dengan kawan-kawan yang bukannya terdiri dari jurugambar, jadi peluang untuk merakam gambar yang dihajati agak terbatas. Masa untuk mengambil gambar pun hanya beberapa minit sahaja dan kadang kala perlu berlari sebab mengejar masa.

Kali ini kami ke Surabaya – Kawah Ijen dan Bromo selama seminggu(4-11 April) seramai 22 orang dan yang paling bestnya adalah semuanya jurugambar. Ekpidisi ini diketuai oleh Ali Samsul Bahar (drAli) dari Kuantan dan dari Persatuan Jurufoto Kuantan yang terkenal dengan siri foto travelnya. Jika siapa dikalangan penggemar gambar nature memang saja sangat kalau tidak mengenali beliau. Kami merancang program ini sejak pertengahan 2013 dan kebanyakkan dari kami tidak sabar untuk menunggu masa berlepas.

Ada antara mereka yang sudah seminggu berkemas dan bersiap bersedia untuk ke sana. Aku pulak siap buat surat sokongan lagi untuk pastikan tidak tercicir lagi kali ini. Bukan senang nak dapatkan cuti 5 hari tu pada hari bekerja biasa. Hanya aku dan Khazari dari Melaka manakala selebihnya dari Johor, KL, Sabah dan pantai timur. Kami dimaklumkan bahawa cuaca di pergunungan agak sejuk, jadi sila sediakan pakaian sesuai.

Permandangan puncak Kawah Ijen sejam sebelum sampai.

Hari pertama 4 April 2014
Flight kami pukul 10.45 malam tapi rombongan dari Kuantan bergerak seawal 8.00 pagi dari sana dengan bas. Oleh kerana mesej tak putus-putus masuk ke wasap group sebab masing-masing update dan telah mula melangkah, maka kami dari Melaka pun tak senang duduk. Aku bergerak dalam pukul 11.00 pagi juga menaiki bas ke LCCT sebab mengambil kira masa perjalanan selama 2 jam dan dalam pukul 5 petang kami akan berkumpul di LCCT.

Sebelum ini kami hanya berhubung melalui facebook dan wasap dan kini kami bersua muka dan berkenal-kenalan antara 22 orang. Mereka memang sporting dan saling berkongsi pengalaman foto travel yang telah diikuti. Amat menarik dan teruja sebab ada yang telah sampai ke China, Taiwan dan Korea dengan fotografi.

Masa menunggu untuk berlepas pada 10.45 malam seakan pantas berlalu dengan pelbagai cerita menarik rakan-rakan rombongan. Sejak peristiwa MH370, aku agak gayat naik kapalterbang ni tapi hanya ini sahaja pilihan yang ada. Kami semua satu flight yang akan memakan masa lebih 2 jam ke Surabaya.

Penambang belerang yang mampu membawa beban hingga 90kg

Hari kedua 5 April 2014
Kami selamat mendarat di lapangan terbang Juanda Surabaya sekitar 1.00 pagi dan disambut oleh tour guide kami, Mas Kabul yang bakal menamatkan zaman bujangnya akhir tahun ini. Khabarnya, dia menjadi pemandu pelancong drAli sejak 2006 lagi dan memang berpengalaman mendaki semua gunung di Indonesia. Seorang yang cool dan sabar dengan karenah kami semua.

Kami dibawa dengan dua buah van besar ke Kawah Ijen sejauh lebih 200km. Van kami hanya diperuntukkan untuk 22 orang dah penuh termasuk beg kamera dan pakaian. Setelah melalui jalan yang aku kira agak teruk dengan jem, sempit, selekoh dan berlubang akhirnya kami sampai jam 5.00 petang tanpa menjamah nasi pun. Kami hanya berbekalkan roti dan air yang dibeli semasa singgah diperjalanan. Dalam perjalanan masa kami banyak dihabiskan dengan menikmati suasana kehidupan rakyat di sana dan landskap gunung ganang yang amat cantik. Banyak juga kawasan menarik sekitar pantai tapi kami hanya mampu melihat saja sebab destinasi kami adalah ke Kawah Ijen. Permandangan bertambah menarik sejam sebelum sampai ke destinasi kerana kami melalui lereng gunung dan merentasi gaung yang dalam. Kalau van terbabas memang habis la.

Hanya terdapat satu kedai sahaja di sana dan kami dalam kelaparan semuanya serbu ke sana. Dengan sepinggan nasi goreng dan teh hangat yang berharga Rp10,000 dah amat murah rasanya. Mak cik kedai tu masak tanpa henti hingga ke malam ditambah pula dengan kehadiran pekerja penambang belerang yang turun naik naik dari gunung. Awal malam hujan mula turun dan suhu pun turut turun. Kami dimaklumkan suhu waktu malam di tapak perkhemahan kami adalah sekitar 12-15 darjah celsius. Tanpa pakai baju sejuk atau long john memang tak boleh tidur la.

Kami hanya tidur dalam khemah yang disediakan sementara menunggu masa mendaki sekitar 2.00 pagi nanti dengan harapan selepas hujan reda nanti langit akan cerah dihiasi ribuan bintang bercahaya.


Hari ketiga 6 April 2014
Malam yang agak sejuk dan hujan belum berhenti tapi menampakkan tanda akan berhenti tidak lama lagi, kami habiskan masa dengan berbual tanpa tajuk. Rasanya tidur pun lebih kurang je sebab baru sekejap kami dikejutkan untuk bersiap sedia untuk mulakan pendakian. Bila keluar khemah, alangkah indahnya bintang-bintang bergemerlapan di langit yang cerah bersinar. Allah dan makhbulkan doa kami.

Selepas drAli memberi sedikit taklimat dan berdoa, kami pun memulakan langkah dalam kedinginan malam dengan berbekalkan led head lamp. Siap berpakaian long john dan jaket, rupanya ia akan jadi panas apabila 5 minit mula mendaki. Pendakian dijangka memakan masa 3 jam bagi yang tidak biasa macam aku ni tapi hanya 2 jam bagi penambang belerang. Memang luarbiasa. Di sepanjang pendakian kami tak lepas dari memandang ke langit melihat keindahan bintang yang jarang-jarang kelihatan di Malaysia. Semasa berhenti rehat kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkannya.

Setelah agak lama mendaki tibalah di puncak gunung Kawah Ijen. Suasana masih gelap tapi dengan bau tengik belerang membuktikan bahawa kami kian hampir dengan kawah. Bila berdiri di tepi kawah yang amat besar kelihatan lampu-lampu mungkin juga dari rombongan kami yang telah sampai di dasar kawah. Rupanya kami perlu turun menyusuri batu batan yang kasar ke bawah dengan anggaran hampir 1 kilometer. Agak jauh dan dalam tapi kami tetap teruja dan berhati-hati.

Bila tiba di dasar, bau asap kian menyesakkan pernafasan dan kelihatan kelompok api biru yang menjadi buruan utama kami ke sini. Kami tidak membuang masa dan terus merakamkan gambar sebanyak mungkin sebelum asap semakin bertambah. Suasana awal pagi banyak membantu kerana tiada tiupan angin yang membuatkan asap tersebar ke seluruh kawah dan melemaskan kami.

Dua kali aku tersedak asap walaupun memakai topeng keselamatan dan aku memilih untuk terus naik ke atas kerana takut. Rakan-rakan lain ada yang terus merakamkan gambar dan bergerak dari kepulan asap yang semakin merebak kerana tiupan angin. Aku kagum dengan ketabahan pekerja penambang belerang yang tahan lasak dengan asap belerang dengan hanya berbekalkan kain basah untuk bernafas.

Langit kian cerah menandakan sudah masuk waktu subuh dan kami solat hanya beralaskan jaket dan berwuduk dengan bekalan air mineral. Bila cahaya semakin cerah kelihatan kawah gunung yang aku kira amat besar dan luarbiasa. Di tengahnya terdapat satu tasik dengan air berasid yang kehijauan dan kelihatan wap menandakan suhunya yang panas. Dari pembacaan di blog dan wikipedia, sekiranya kita terjatuh dalam tasik berkenaan, hanya beberapa minit sahaja badan kita boleh mereput kerana pekatnya kandungan asidnya.

Kami menghabiskan masa sehingga pukul 10.00 pagi sebelum mula turun ke tapak perkhemahan dan bersarapan sekadar mengalas perut dengan pop mee serta teh hangat. Di sini mereka hanya minum teh hangat, jadi jangan mimpi lah kalau kita berhajat nak minum milo atau nescafe. Memang tak ada.

Setelah bersiap dan berkemas, kami mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu tempat air terjun Belawan yang airnya agak panas dari sungai Kali Pahit. Tempat ini berada di Desa Kalianyar, Kecamatan Sempol 52 km dalam jajahan Bondowoso Katimor dan airnya juga datang dari Kawah Ijen dan berasid, kekuningan. Kami akan bermalam di sana dan perjalanan memakan masa 1 jam. Kawasan ini juga adalah ladang kopi dan menghasilkan kopi luwak (najis musang) yang berharga Rp15,000 secawan.

Waktu malamnya kami tidur agak awal dan selesa kerana beralaskan tilam empuk dan mungkin juga kepenatan. Esok kami akan melawat air terjun Balawan yang 30 minit berjalan kaki dari resort berkenaan melalui rumah kongsi pekerja ladang kopi.


Hari keempat 7 April 2014
Suasananya agak biasa dan kami hanya bersantai sambil merakamkan beberapa gambar air terjun berkenaan dan bersiap untuk ke destinasi seterusnya iaitu air terjun Mandakaripura yang terletak di Kecamatan Lumbang, Probolinggo iaitu juga termasuk dalam kawasan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru.

Dalam pukul 11.30 pagi kami bergerak ke sana dan memakan masa hampir 2 jam dengan keadaan jalan yang bergunung ganang. Air terjun yang luarbiasa dan sangat tinggi sehingga air yang jatuh umpama hujan sahaja. Sesiapa saja yang mengunjugi tempat ini akan basah dan agak susah untuk mengambil gambar jika kamera tidak dilengkapi casing kalis air. Hanya beberapa keping gambar sahaja berjaya dirakam. Sebenarnya kami hanya singgah di sini dalam perjalanan ke gunung Bromo.

Kami tidak mengambil masa yang lama di sini kerana sebelum malam kami mesti sampai di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru yang menjadi destinasi kedua penting selepas Kawah Ijen. Perjalanan yang mengambil masa 3 jam dirasakan sebentar kerana permandangan gunung-ganang indah yang di kiri kanan kami. Sekitar taman negara Tengger Semeru suasananya seakan Cameron Highland dengan cuaca yang dingin dan penduduknya yang giat bertani.

Kami bermalam di dua buah homestay yang telah diuruskan oleh jurupandu kami Mas Kabul. Suhu dingin waktu malam di sini boleh mencapai 10 darjah selsius dan lebih rendah bila terdapat tiupan angin. Kami tidur agak awal kerana dalam pukul 3.00 pagi kami mula bergerak ke tanah tinggi penanjakan untuk mendapat permandangan yang sangat cantik semasa awal pagi.

Kami bergerak dengan 4 buah jeep yang akan merentasi padang pasir putih seawal 3.00 pagi untuk ke tanah tinggi Penanjakan dan berharap pengunjung tidak ramai tapi sangkaan kami meleset kerana pengunjung yang sangat ramai. Dengan suhu yang dingin dan angin yang agak kuat, agak susah untuk merakamkan gambar. Permukaan lens akan cepat berkabus dan kita perlu bersedia untuk sentiasa lap dengan kain kering. Suasana dan permandangan dari sini amat luarbiasa dengan keindahan ciptaanNya. Satu ketika, kabus amat tebal hingga menenggelamkan punca Semeru.


Hari kelima 8 April 2014
Sekitar pukul 8.30 pagi kami mula turun untuk melihat suasana gunung Bromo dari dekat. Lebar mulut kawah ialah 800 meter dengan ketinggian 2392 meter dari aras laut. Gunung ini masih aktif dan bunyi deruman kawah memang menakutkan pengunjung yang baru pertama kali ke sini. Letusan terakhir gunung ini ialah pada tahun 2011. Gunung Batok adalah seakan kembar Bromo kerana ia berdekatan dan lebih tinggi dari puncak Bromo.

Menjelang tengahari kami melawat di bahagian belakang Bromo iaitu tanah pamah safari yang terdiri dari kawasan lapang berumput. Seterusnya kami menyusuri denai di savannah ke Ranu Pani iaitu kampung tertinggi di pulau Jawa. Ia terletak 2100 meter dari aras laut dan juga merupakan post pendakian ke puncak Semeru. Sebuah tasik semulajadi yang agak luas berada di kampung ini. Tidak banyak gambar boleh dirakamkan kerana kami hanya berjalan santai tapi bagi penggemar street shot, tempat ini memang terbaik.

Disebelah petang kami hanya berlegar disekitar homestay yang masih banyak kawasan menarik untuk dilawati. Untuk mendapat gambar yang menarik kita tidak boleh tergesa-gesa tapi perlukan masa dan tenang terutama melibatkan human interest. Ada juga antara kami merancang untuk kembali ke penanjakan kerana tidak berpuas hati dengan hasil semalam.


Hari keenam 9 April 2014
Selepas sarapan dalam pukul 12.00 tengahri kami mula bergerak ke Surabaya untuk melawat sekitar pasar Pabean. Kami sampai pada pukul 9.00 malam dan bermalam di sebuah hotel bajet berdekatan lapangan terbang supaya tidak terkejar-kejar untuk ke sana nanti. Semuanya keletihan dan tidur awal.


Hari ketujuh 10 April 2014
Pada awalnya kami plan untuk merakam sunrise di pantai berdekatan dan seterusnya ke pasar Pabean tapi oleh kerana hari Jumaat, maka kami hanya ke pasar Pabean sahaja. Bagi penggemar street shot, ini lah tempatnya kerana pelbagai ragam manusia boleh dirakam dan tidak terdapat di Malaysia.

Oleh kerana ini adalah hari terakhir kami di sini manakala flight pukul 6.25 petang, kami mengambil keputusan untuk berada di sekitar kota Surabaya sahaja. Keadaan trafik di sini sukar diramal dan selalu jem. Kami tidak mahu mengambil risiko terlepas penerbangan balik. Masa juga boleh terbuang jika mengalami masalah imigresen masa check in.

Kami selamat mendarat di LCCT pada pukul 9.55 malam dan pulang ke destinasi masing-masing. Kalau nak ikutkan tahap kepuasan dan gambar yang dapat dirakam, aku hanya bagi 7/10 sahaja sebab kami banyak terlepas spot menarik. Mungkin ia hanya menarik dari pandangan mata aku tapi sebaliknya dari pandangan mata orang lain. Tapi kami redha sebab inilah risikonya bila datang secara berkumpulan, ramai pulak tu.

Banyak gambar yang perlu diteliti, diproses dan pilih mana yang mempunyai commercial value...


Gambar akan dimasukkan kemudian...


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net